Tahniah ler kepada semua pemohon Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang berjaya dalam proses cabutan undi baru-baru nie. Best kan berjaya menjadi salah sorang yang bertuah. Tahniah kepada anda yang terpilih. Bagi yang tak terpilih jangan gundah gelana sebab masih ada projek lain nanti. So leh register untuk projek lain lak yer.
Harap proses pemilihan secara undi ini tidak berlaku ketirisan agak semua pemohon dapat menerima manfaat dari pengundian yang telus. Kepada yang tak tahu pasal projek PR1MA nie harap korang rajin-rajin ler masuk ke website ini yer http://www.pmo.gov.my/pr1ma/
PENIAGA pasar malam, Mohammad Norazam Azman Shah, 25, bertuah nombornya yang pertama diundi Najib untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Presint 11, Putrajaya, semalam.
NAJIB bersama Rosmah menunjukkan nombor cabutan undi sebahagian daripada lebih 7,000 permohonan bagi 560 unit rumah mampu milik fasa pertama di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sambil diperhatikan Tengku Adnan serta Dr Jamaluddin (kanan) di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, semalam.
Perdana Menteri jamin lebih banyak rumah PR1MA akan dibina
PUTRAJAYA: Sejak Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang pertama di Presint 11 dibuka pada 30 September lalu, lebih 7,000 permohonan diterima dan semalam, 560 pemohon gembira kerana menjadi pemilik pertama program rumah mampu milik itu manakala 200 lagi dipilih dalam senarai menunggu.
Ramai yang kecewa tetapi Datuk Seri Najib Razak menegaskan mereka yang tidak berjaya boleh memohon semula bagi projek PR1MA akan datang, kerana lebih banyak rumah seumpama itu akan dibina.
Dalam ucapannya Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus campur tangan melalui program khusus itu bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah berkualiti pada harga rendah.
Katanya, sasaran program itu adalah membangunkan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana yang hidup di bandar besar sehingga terpaksa menanggung kos perbelanjaan harian yang tinggi khususnya kos pengangkutan.
“Memiliki rumah sendiri adalah satu impian dan cita-cita rakyat yang diambil berat oleh kerajaan. Ini adalah kerana memiliki rumah sendiri akan menyemai perasaan memiliki selain mempunyai rumah berhampiran tempat kerja. Lagipun, kerajaan sedar tinggal berhampiran dengan tempat kerja mampu meningkatkan produktiviti rakyat," katanya pada majlis pengundian terbuka pertama PR1MA untuk rumah mampu milik di Presint 11 di sini, semalam.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Rumah PR1MA ditawarkan pada harga RM120,000 dan RM150,000 seunit berbanding harga pasaran rumah terbabit RM175,000 dan RM220,000 seunit yang dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2014. Projek itu dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) dengan kerjasama Unit PR1MA, Jabatan Perdana Menteri.
Ia dibuka kepada warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, bermastautin atau bekerja di Putrajaya dan juga pengundi berdaftar Parlimen berkenaan; tidak memiliki lebih daripada satu rumah di Malaysia dan pendapatan isi rumah kasar tidak melebihi RM6,000 sebulan.
Najib berkata, lebih banyak program PR1MA akan dibina di sekitar kawasan bandar seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Lembah Klang bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang masih belum memiliki rumah untuk mempunyai kediaman sendiri.
“Peningkatan harga rumah di kawasan bandar akan mendorong perpindahan dari kawasan bandar ke luar bandar dan secara tidak langsung ia akan memberi komplikasi atau tekanan sosial dan ekonomi kepada golongan terbabit.
“Ini kerana difahamkan harga purata rumah teres baru sekarang adalah RM450,000 sebuah, yang memerlukan bayaran ansuran bulanan sehingga RM3,000 sebulan bagi tempoh pinjaman 20 tahun, menyebabkan sebilangan besar rakyat di kawasan bandar tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri di Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu, peniaga makanan di Pasar Tani Mega Putrajaya di Presint 2, Mohamad Norazam Azman Shah, 25, melahirkan rasa terkejut kerana menjadi pemohon pertama yang nombor undian dicabut pada majlis pengundian di dewan Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini.
Bapa kepada bayi berusia tujuh bulan yang kini tinggal bersama ibu bapanya di Presint 9, menganggap dirinya amat bertuah kerana nombornya dicabut sendiri oleh Najib, sekali gus memberinya peluang untuk memiliki kediaman sendiri.
“Selama hampir tiga tahun saya cuba mencari rumah di kawasan sekitar termasuk Bangi dan Kajang tetapi gagal kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi, berbanding dengan pendapatannya hanya sekitar RM2,000 sebulan.
“Pemilihan hari ini dapat merealisasikan impian saya untuk terus tinggal di Putrajaya kerana saya memang suka tinggal di sini, memandangkan keadaannya yang aman dan menenangkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias menjelaskan, senarai menunggu itu bertujuan memudahkan proses seterusnya jika ada pemohon yang dipilih dalam senarai awal tidak memenuhi syarat termasuk gagal memperoleh pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan.
- RM400,000 had maksimum harga rumah
- RM6,000 pendapatan bersama pasangan suami isteri
- Rumah pertama bagi pasangan suami isteri
- 1,880 unit akan dibina 2011 di Putrajaya dan Bandar Tun Razak
- 7,700 unit dibina 2012 di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja
- Pengecualian duti setem surat perjanjian