KUALA  LUMPUR – Kempen pemboikotan Astro bermula hari ini apabila lebih 70  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui Persatuan Pengguna Islam  Malaysia (PPIM) menyeru tiga juta ahli dan penyokong mereka supaya tidak  membuat pembayaran bil selama tiga bulan berturut-turut ke stesen  televisyen berbayar itu.
Arahan itu turut  meliputi pemboikotan terhadap barangan dan pengiklan yang mengiklankan  produk mereka di stesen televisyen berkenaan.
Langkah  ini diambil setelah amaran dan rayuan yang dibuat sebelum ini dipandang  sepi oleh Astro malah stesen itu dilihat semakin angkuh mempertahankan  pendirian mereka.
Pengerusi Majlis Penasihat  PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, walaupun tanpa Astro,  pengguna kini masih boleh beralih kepada perkhidmatan Unifi dan juga  perkhidmatan menggunakan aerial seperti yang wujud selama ini.
”  Kita tak mati tanpa Astro, kita juga bukan nak bermusuh dengan mereka,  tetapi kita tidak mahu mereka sesuka hati menekan kita dengan pelbagai  bayaran seolah-olah mereka mempunya kuasa mutlak untuk berbuat apa saja  sehingga sanggup mengetepikan pandangan pelanggan, termasuk arahan  daripada kerajaan sendiri.
”  Astro jangan pandang remeh kempen ini kerana kita pernah berjaya dalam  kempen pemboikotan beberapa barangan sebelum ini dan kita akan  membuktikan sekali lagi ‘kemampuan’ kita pada stesen televisyen  terbabit.
” Sekejap lagi kita  akan mula menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada semua ahli ,  kempen ini akan berkuatkuasa sehingga Astro akur pada permintaan kita”  tegasnya.
Tunku Azwil menambah, dengan  memperoleh keuntungan sehingga RM800 juta pada tahun kewangan yang  berakhir pada 2010, tidak ada sebab untuk Astro terus menekan pelanggan  mereka dengan caj yang melampau.
Astro baru-baru  ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej  yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan  diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.
Sesetengah  pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan,  manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95  sebulan.
Bagaimanapun notis mengenai kenaikan  bayaran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Astro kepada pelanggannya  dianggap tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran dari Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Menteri  Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Dalam  perkembangan yang sama, Tunku Azwil berkata, usaha licik Astro juga  jika tidak dibendung, akan membunuh masa depan industri penyiaran  negara.
” Untuk pengetahuan anda, Astro  mengenakan caj iklan yang rendah kepada syarikat yang ingin mengiklankan  produk mereka, iaitu sama dengan kadar iklan stesen radio.
”  Caj ini sudah tentu tidak boleh ditandingi oleh stesen televisyen tidak  berbayar seperti RTM dan TV3,  akhirnya pengiklan akan lari ke Astro  secara perlahan-lahan dan kesemua stesen televisyen percuma ini pasti  akan mengalami kesukaran untuk bertahan,” ujarnya.
Mengenai  pandangan yang mengatakan pihak Astro terpaksa menaikkan kadar cajnya  disebabkan program berkualiti yang disediakan, Tunku Azwil berkata, ia  bukanlah alasan untuk menambahkan beban.
Ujarnya, jika itu dijadikan alasan untuk menaikkan harga, ia ibarat satu ‘ugutan’ kepada para pelanggannya.
”  Kepada kerajaan, tolonglah bela hak pengguna kerana kita dah ada  pelbagai akta seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta  Komunikasi dan Multimedia 1998.
”  Pengguna muak dengan gelagat Astro yang sudahlah memonopoli pasaran  hampir 20 tahun lamanya, mereka juga bertindak berlawanan dengan  semangat 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan,” ujarnya. – Oleh SYAHRIL A. KADIR 
SUMBER - Mynewshub.my
Dezaman: Ini lah jadinya kalau Pak Menteri sendiri "bacul" nak menggunakan kuasa terhadap pihak yang dah terang-terang hendak menindas pengguna dan rakyat. Pemimpin macam nie patut disingkirkan dari List Menteri Kabinet. Apa lagi Pak Jib tunggu-tunggukan!!!! Dah sah-sah anak buah awak tu dah tak reti yang jalankan tugas so pandai-pandai awak ler gunakan kuasa yang ada sebagai "big boss" kat Malaysia nie. Nie lah masanya untuk awak amik hati rakyat kembali. Jangan sampai rakyat menampakkan awak pun turut sama "bacul" macam Menteri Kabinet awak tu dah ler. Selamat menjalankan tugas dan amanah rakyat. PEACE NO WAR.



