Salam Takziah kepada seluruh keluarga arwah Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban semasa menjalankan tugas sebagai Jurukamera Bernama TV di Somalia. Arwah maut akibat terkena tembakan dari peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusian Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Noramfaizul Mohd. Nor. Semoga beliau ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh pada Allah.
NORAMFAIZUL BIN MOHD NOR - Berpengalaman luas dalam misi bantuan kemanusiaan bersama Kelab Putera 1Malaysia. dikenali dengan nama ZUL. Beliau seorang yang berpandangan tajam dan tidak mudah berpuas hati dengan hasil kerjanya. SUMBER
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia malam ini.
Wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar berita telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.
Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia (Malaysia lima jam lebih awal dari Mogadishu), katanya.
Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.
Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur, dijangka pulang 8 September ini. - Bernama